Thursday, October 20, 2011

Kelebihan Berzikir

 Para ulama rahimahumullah telah menentukan tentang keutamaan berzikir dan kelebihannya dari segala amal saleh yang lain, bahawa zikir itu boleh dikerjakan selalu pada bila-bila masa dan perbagai keadaan, kerana waktunya tidak tertentu, malah ia dianjurkan supaya dilakukan terus-menerus. Semua orang boleh berzikir tanpa syarat, termasuk orang yang berhadas kecil atau berhadas besar, orang yang sedang dalam pekerjaan, ataupun sedang lapang dan berehat. Berbeza dengan ibadat yang lain, seperti sembahyang, puasa dan membaca Al-Quran maka bagi ibadat-ibadat ini ada syarat-syaratnya yang harus dipatuhi, dan waktu-waktunya yang tetap yang mana tiada sah ibadat itu, jika ditunaikan di luar waktu-waktu yang tersebut.  

   Ibadat yang amat utama ialah sembahyang, dan ia dilarang mengerjakannya pada kira-kira sepertiga waktu siang. Iaitu bermula sesudah sembahyang Subuh hingga matahari kelihatan meninggi. Begitu pula sesudah sembahyang Asar hingga matahari terbenam. Puasa pula tiada boleh ditunaikan melainkan pada siang hari sahaja.

  Manakala membaca Al-Quran Al-Karim dilarang kepada orang junub, yakni yang berhadas besar, dan tiada dituntut dari orang yang sedang sibuk menguruskan kerja yang hatinya berbelah bahagi antara membaca dan bekerja. Larangan ini dikenakan disebabkan kehormatan Al-Quran dan kebesarannya.

   Adapun zikir, maka Allah s.w.t. telah memberikan peluang yang luas untuk dikerjakannya sebagai rahmat dan kurnia utama kepada seluruh hambaNya, padahal ia mudah dibuat dan tidak perlu kepada usaha atau tenaga yang banyak, jika dibandingkan dengan yang lain-lain. Dalam hal ini, zikir itu melebihi amalan-amalan dari segi keutamaanya, meskipun amalan-amalan selain zikir itu mempunyai keutamaan-keutamaan yang tersendiri dari segi yang lain pula. 
    
  Antara kelebihan zikir itu,ia mudah dibuat meskipun keutamaannya banyak, dan ia dapat dilakukan secara terus-menerus, sehingga pada tempat-tempat di mana dimakruhkan berzikir dengan lisan, misalnya di tandas atau di waktu berjimak, dibolehkan baginya untuk berzikir dengan hatinya. Demikianlah menurut para Ulama Tauhid, rahimahumullah.

  Jelaslah kini, bahawa anda boleh berzikir kepada Allah Ta'ala di mana-mana saja anda berada, ketika sedang bekerja, ketika  bertukang, ketika berusaha, ketika mengurus sesuatu urusan dunia, dan sebagainya.Maka lazimkanlah berzikir kepada Allah Ta'ala dengan hati dan lisanmu sekadar yang termampu.  

Allah berfirman yang bermaksud: " Maka berzikirlah kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk, dan telentang." (An-Nisa' : 103).

dan lagi " Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah kepada Allah sebanyak-banyaknya, dan bertasbihlah kepadaNya setiap pagi dan petang ". (Al-Ahzab : 41-42).

Maka kelebihannya terlalu banyak, maka memadailah dengan firman Allah yang bermaksud: " Orang-orang yang beriman itu, hati mereka menjadi tenteram kerana berzikir (mengingati) kepada Allah, Ingatlah bahawa dengan berzikir kepada Allah, hati akan menjadi tenteram. " (Ar-Ra'ad : 28).

dan Sabda Nabi SAW ; " Tiada suatu amalan yang dikerjakan oleh anak Adam yang boleh menyelamatkannya dari siksa Allah, selain dari berzikir kepada Allah. " dan sabda Nabi SAW lagi " Adalah berzikir kepada Allah pada waktu pagi dan petang itu lebih utama daripada bertarung pedang di jalan Allah, dan daripada membelanjakan harta kekayaan dengan murah hati. ".

Allahua'lam.Wassalam.




No comments:

Post a Comment